SENIMAN anggap pandangan Zed Zaidi sebagai peribadi

on Thursday, April 12, 2012 by Generasi Pejuang Bangsa
 - No Comments



Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Harun Salim Bachik menasihatkan timbalannya, Zed Zaidi supaya berfikiran bijak dan memikirkan kesan yang timbul sebelum mengeluarkan sebarang perkataan, tulisan atau tindakan berbentuk peribadi kerana dikhuatiri ia boleh merosakkan persatuan.

Terbaru kelmarin apabila Zed melalui akaun Twitter miliknya dan perbualan telefon mempertikaikan kemenangan diraih pelakon tampan, Aaron Aziz, 36 yang menggondol Anugerah Bintang Popular selepas mendakwa kemenangan itu boleh merosakkan industri seni tanah air berikutan aktor terbabit bukan warga Malaysia.


Menurut Harun, pendapat diberikan Zed tidak mewakili persatuan kerana Seniman tidak pernah mempertikaikan sebarang kejuaraan yang dimenangi mana-mana artis serta menyifatkan penjelasan diberikan timbalannya itu terlalu peribadi.

“Tindakan Zed mempertikaikan kemenangan Aaron adalah hak peribadinya bersuara. Namun, dia terlupa setiap komen diberikan mengundang tanggapan negatif masyarakat kepada Seniman tambahan pula dia menyandang jawatan timbalan presiden,” katanya.


Kata Harun, kemungkinan juga Zed terlepas cakap sehingga perkara itu menjadi bualan hangat di kalangan selebriti, masyarakat dan pengamal media yang beranggapan tindakannya itu kurang bijak.


“Saya tidak menyalahkan sesiapa kerana hak bersuara adalah milik individu. Namun, saya menegaskan apa yang diluahkan Zed tidak membabitkan Seniman kerana persatuan ini adil terhadap semua keputusan,” katanya.

Menurutnya, kemunculan Zed di media sebagai Ketua Biro Seniman Muda adalah memperjuangkan masa depan artis dan kebaikan bersama, namun setiap tindak tanduknya mesti bertepatan dengan misi persatuan dan tidak menimbulkan kontroversi panas.


“Saya nasihatkan supaya Zed ‘slow down’ sedikit dan berfikiran positif terhadap tindakannya. Sebelum lakukan sesuatu fikirlah dulu kesannya,” katanya.


Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Sebarang maklumat yang hendak diberikan boleh email kepada pbpejuangbangsa@gmail.com
Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.

Followers

Created by Generasi Pejuang Bangsa. Powered by Blogger.
© GENERASI PEJUANG BANGSA. Converted by Smashing Blogger for LiteThemes.com.