..

..

Salasilah Sultan Kedah yang kini ditabal YDP Agong ke 14 ..DAULAT TUANKU

on Thursday, April 12, 2012 by Generasi Pejuang Bangsa
 - No Comments




Salasilah Sultan-sultan yang memerintah Negeri Kedah Darul Aman pertama kali disusun secara lengkap dalam tahun 1928 dalam tulisan jawi dengan terbitnya buku "AI-Tarikh Salasilah Negeri Kedah" (ASNK) satu-satunya buku yang memuatkan persejarahan Kedah yang dapat dipertanggungjawabkan karya anak watan Kedah, Muhammad Hassan bin Dato' Kerani Muhammad Arshad.

Sebelum itu, R.Q. Winstedt pernah menyenaraikan salasilah yang sama dalam dua rencananya iaitu "History of Kedah" (JSBRAS, 1920 : 32 dan 34) dan "Notes on the History of Kedah" ( JMBRAS, 1936: 186 - 187). Dalam kedua-dua rencananya, beliau cuba membuat perbandingan salasilah tersebut berdasarkan buku "Hikayat Merong Mahawangsa" dan ASNK di samping memetik senarai yang disusun oleh Wan Yahaya Haji untuk Mr. E.A.G. Stuart, Penguasa Pelajaran Negeri Kedah sebelum Perang Dunia Kedua (1920 - 1924). Dibandingkan dengan ASNK terdapat beberapa perbezaan sebutan nama yang berpunca kerana kesalahan mentransliterasikannya dari jawi ke rumi.

Hikayat Merong Mahawangsa (HMM) tidak dapat dibina sebuah salasilah Kesultanan Kedah yang ,lengkap kerana beberapa sebab. Yang pentingnya kerana HMM tergolong dalam karya 'historiografi' (sastera sejarah) yang sifatnya sama seperti karya-karya yang sejenis dengannya seperti "Hikayat Raja-raja Pasai", "Sulalatus-Salatin" atau "Sejarah Melayu" dan sebagainya kerana tidak mementingkan pentarikhan atau tahun berlakunya sesuatu peristiwa. Penceritaannya pulaterhenti sehingga zaman Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II (Sultan Kedah ke-22, 1804 - 1845) dan itupun dalam bentuk senarai di samping beberapa orang_ sultan sebelumnya.

Setakat ini ASNK ternyata dapat dipegang kesahihan faktanya terutama dalam mencatatkan kedatangan Islam di Kedah iaitu pada 531 Hijrah bersamaan 1136 masihi. Terdapat catatan yang lengkap mengenai pemerintahan setiap sultan dan tarikhnya di lapan buah pusat pemerintahan sehingga ke zaman Sultan Abdul Hamid Halim Shah (Sultan Kedah ke-27, 1882 - 1943). Bagaimanapun sehingga zamanTunku Anom menjadi Raja Negeri Kubang Pasu, pengarang ASNK hanya menggunakan tarikh hijrah sahaja, dan apabila mangkat Tunku Anom bermulalah penggunaan tahun masihi di samping tahun hijrah iaitu dicatatkan pada 20 Syaaban 1269 bersamaan 31 Mei, 1853 (ASNK, Teks jawi : 296).

Sesudah Perang Dunia Kedua, dua orang dari kalangan Kerabat DiRaja Kedah iaitu Tunku Nong Jiwa dan Tunku Fariduddin Haji telah mengusahakan penyusunan semula "Salasilah Kesultanan Kedah" yang juga dirujuk kepada ASNK. Usaha mereka berdua menjadi ikutan kepada penulis sejarah berikutnya ketika menulis rencana atau buku yang berkaitan dengan persejarahan Kedah. Bagaimanapun jika dianalisa dan dibandingkan dengan setiap karya yang ada hari ini, di samping mempunyai beberapa persamaan terdapat pula beberapa perbezaan yang ketara dalam beberapa aspek berikut:


Sebutan nama sultan dan gelarannya.
Tahun atau tarikh pemerintahan setiap sultan.
Bilangan atau jumlah sultan yang memerintah sehingga kini.

Misalnya nama-nama tokoh yang berbeza-beza antara naskah atau karya-karya silam yang diselidiki dan kesalahan yang agak ketara ialah seperti "Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Mluazzam Shah" ditulis "Sultan Muhammad Jiwa Zainal Abidin Mluazzam Shah" dan "Sultan Muzzil Shah" ditulis "Sultan Mansor Shah".

Berdasarkan kajian dan perbandingan dengan karya-karya lain termasuk tulisan-tulisan yang tertera pada matawang lama yang ditemui, maka satu senarai yang agak lengkap telah disusun semula oleh Wan Shamsudin Mohd Yusof dalam sebuah kertas kerja yang dibentang dalam Seminar Kemantapan Identiti Budaya Negeri Kedah Darul Aman pada 28 hingga 29 Ogos 1999 anjuran Majlis Kebudayaan Negeri Kedah dengan kerjasama Pejabat Kebudayaan dan Kesenian Negeri dan Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah Darul Aman. Senarai Kesultanan Kedah yang terkandung dalam kertas kerja tersebut berjudul "Salasilah Kesultanan Kedah Darul Aman - Satu Analisa dan Perbandingan" akhirnya telah diterima dan dipersetujui untuk diterima pakai mulai tarikh Seminar tersebut. MYKEDAH.com

Berikut dilampirkan Salasilah Kesultanan Kedah terkini (1136 hingga sekarang)


Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Sebarang maklumat yang hendak diberikan boleh email kepada pbpejuangbangsa@gmail.com
Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.

Followers

Created by Generasi Pejuang Bangsa. Powered by Blogger.
© GENERASI PEJUANG BANGSA. Converted by Smashing Blogger for LiteThemes.com.