Dakwaan pembangkang bahawa produk Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) dijual lebih mahal berbanding pasaran dan kurang berkualiti, bukan saja gagal menggugat kepercayaan pengguna, sebaliknya memberi publisiti luas kepada masyarakat negara ini.
Ia jelas terbukti apabila purata jualan produk KR1M mencatatkan peningkatan memberangsangkan hingga 15 peratus sejak isu berkenaan digembar gembur Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihaknya menghargai kebijaksanaan rakyat dalam menentukan kebenaran dan mainan politik pihak pembangkang.
“Saya percaya hingga kini rakyat masih percaya kepada KR1M...buktinya, jualan produk meningkat 15 peratus sejak isu itu ditimbulkan,” katanya pada sidang media khas mengenai penarikan balik 13 produk KR1M yang tidak memenuhi piawaian di Menara Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di sini, semalam.
Hadir sama, timbalannya, Datuk Tan Lian Hoe dan Datuk Rohani Abdul Karim serta Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd (Mydin), Datuk Ameer Ali Mydin.
Mengulas penarikan balik 13 produk KR1M dari pasaran, Ismail Sabri berkata, ia dibuat atas sebab teknikal membabitkan perlabelan produk atau komposisi bahan dalam bungkusan dan bukannya berkaitan kesihatan pengguna.
“Berdasarkan laporan terperinci diterima, kami dapati produk terbabit selamat untuk pengguna, tetapi perlu diperbetulkan dari sudut teknikal supaya tidak mengelirukan orang ramai.
“Contohnya, minyak sapi sebelum ini dilabel sebagai sebatian minyak sapi, tapi ramuannya jelas tercatat mengandungi minyak kelapa sawit dan minyak sapi. “Justeru, kami perlu memperbetulkan label sebagai sebatian minyak makan kelapa sawit dan sapi,” katanya.
Menurutnya, untuk berlaku adil, pihaknya menubuhkan Unit Pemantau Khas bagi memantau secara besar-besaran produk makanan di pasaran, tidak kira murah ataupun berjenama.
“Ini kerana kami dapati ada produk dari sumber kilang sama dengan KR1M dibungkus dengan jenama berbeza dan dibekalkan di pasaran.
“Yang ini, kalau Tony Pua nak tolong, eloklah dia tengokkan produk lain di pasar raya dan salurkan maklumat kepada Kementerian Kesihatan untuk tindakan lanjut,” katanya.





