Setiausaha DAP Perak Nga Kor Ming dianggap menghina kedaulatan Perak dan Institusi Diraja kerana mengeluarkan kenyataan "Perak Darul Kartun", kata Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Beliau berkata Anggota Parlimen Taiping itu tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sedemikian kerana sebagai seorang pemimpin beliau perlu menunjukkan keperibadian yang baik kepada rakyat.
"Dengan sikap Nga ini, rakyat boleh menilai sendiri pemimpin macam ini ke yang perlu diikut? kata-katanya yang menggelar "Perak Darul Kartun" ini telah menghina Perak," katanya kepada pemberita selepas Hari Bertemu Pelanggan di Dewan Serbaguna Bangunan SUK hari ini.
Beliau diminta mengulas lanjut tindakan Nga yang mengeluarkan kata-kata seperti itu termasuk menghina Zambry pada majlis ceramah 9 Sept lepas.
Setelah dibidas pelbagai pihak termasuk ahli politik dan badan-badan bukan kerajaan, Nga baru-baru ini telah memohon maaf kepada Zambry kerana menggelarkannya "hitam metalik".




