Tun M nasihat Ku Li guna blog sebagai saluran untuk bersuara

on Thursday, November 10, 2011 by Pejuang Bangsa
 - No Comments



Ini pandangan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai kenyataan veteran UMNO Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) bahawa dia tubuh NGO sebab tak ada ruang untuknya bersuara dalam parti.

Kata Dr Mahathir, saluran alternatif seperti blog harus dijadikan platform pemimpin parti politik untuk bersuara, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Kita boleh guna blog untuk bersuara. Kalau tidak boleh bersuara dalam parti, kita guna blog. Dalam parti, kadang-kala dia (pemimpin) pun tak berapa dengar.


"Kita ada kebebasan bersuara. Jadi, kita boleh bersuara tetapi kalau orang lain tak berapa dengar, kita tak boleh buat apa-apa," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan bertajuk 'Dilema Ekonomi Bangsa Malaysia' di Universiti Putra Malaysia Rabu.

Semalam, Ku Li, yang juga Presiden AMANAH, berkata pertubuhan itu bebas dianggotai pelbagai fahaman politik untuk menyuarakan apa saja pandangan berhubung kepentingan rakyat.

Selain kenyataan Ku Li, Dr Mahathir juga ditanya pemberita mengenai cadangan DAP mengurangkan kakitangan awam.

Menurutnya, berdasarkan pertambahan populasi di Malaysia, maka lebih ramai penjawat awam diperlukan.

"Untuk mengurangkan bilangan kakitangan awam dengan memecat mereka, itu sangat teruk.

"Ketika saya mengambil alih jawatan Perdana Menteri, kita mempunyai kira-kira 13 juta rakyat, namun apabila saya mengundurkan diri, populasi kita meningkat kepada 26 juta. Populasi bertambah jadi kita memerlukan lebih ramai kakitangan awam," katanya sambil menambah penswastaan dapat menyerap kakitangan awam ke sektor swasta dan mengurangkan perbelanjaan kerajaan.

Sebelum itu, Dr Mahathir berkata kerajaan harus memastikan pengagihan pendapatan yang adil dan saksama di kalangan rakyat pelbagai kaum bagi mencapai status negara maju.

"Kalau kita sedar pentingnya imbangan antara miskin dan kaya supaya jurang tidak terlalu jauh, maka kita akan mencapai kemajuan. Kita tidak boleh terlalu mengejar kemajuan tanpa mengambil kira mereka yang mungkin tertinggal di belakang.

"Inilah dilema ekonomi Malaysia. Namun demikian, kita dapat menyediakan rakyat kita supaya dapat merebut peluang yang wujud dalam negara yang stabil dan tumbuh dengan pesatnya," katanya.

Selain itu, Dr Mahathir menyarankan rakyat Malaysia agar memahami dilema kerajaan untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi, yang akan 'disertai' kos perbelanjaan serta sara hidup tinggi.

"Maka, kerajaan perlu bijak menangani agar tidak berlakunya rusuhan untuk menjatuhkan kerajaan," katanya.

Beliau turut meminta rakyat Malaysia agar tidak cerewet dan terlalu memilih pekerjaan demi kepentingan ekonomi negara.

Dr Mahathir berkata kebanjiran pekerja asing di negara ini menjadikan golongan itu cekap dalam sesuatu bidang, dan pada masa yang sama, pendapatan mereka meningkat serta menyebabkan pengaliran wang ke luar negara meningkat.

"Ini (pengaliran wang ke luar negara) secara tidak langsung menyebabkan negara kita akan menjadi miskin," katanya.-9/11/2011 AGENDA DAILY


Leave a Reply

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.

Followers

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Created by Generasi Pejuang Bangsa. Powered by Blogger.
© GENERASI PEJUANG BANGSA. Converted by Smashing Blogger for LiteThemes.com.
CyberChimps