Kakitangan awam diminta menolak pembangkang kerana kenyataan awal DAP sebelum ini berhasrat mengurangkan mereka jika diberi mandat memerintah negara.
Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan berkata, hasrat itu membuka tembelang DAP.
Menurutnya, tindakan sedemikian akan menyebabkan 1.2 juta kakitangan awam terjejas, sekali gus 5 juta rakyat bergantung kepada gaji yang diberikan Kerajaan Pusat.
“Majoriti kakitangan awam adalah Melayu dan ia tidak disenangi pembangkang. Nampak sangat mereka (DAP) tidak menghormati pegawai kerajaan.
“Kita tahu mereka tidak akan masuk perkhidmatan kerajaan kerana gaji yang ditawarkan kecil, tetapi mereka perlu melakukan kerja yang banyak,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Bagaimanapun, Tony Pua dalam kenyataannya baru-baru ini menyelar pihak yang mengecam cadangan parti itu mahu memperkemaskan perkhidmatan awam menerusi pendekatan mengurangkan saiz tenaga kerja dengan sengaja menjadikannya isu perkauman kerana ia bukan satu idea janggal, malah pernah disentuh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Ahmad berkata, kakitangan awam berkorban walaupun gaji kecil, tetapi tidak dihargai pembangkang.
“Masa depan kakitangan awam bersama pembangkang gelap. Saya harap kakitangan awam menolak mereka,” katanya.





