Keluarga kepada pengasas Umno, Datuk Onn Jaafar sedang berbincang sama ada mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu atau tidak kerana menuduh tokoh tersebut sebagai pegawai British dan bukan pejuang kemerdekaan.
Anaknya, Datuk Jaafar Onn berkata, pihaknya akan mengkaji sejarah sedalam-dalamnya dan menegaskan keluarganya mempunyai kepakaran dari segi undang-undang dan kajian untuk berbuat demikian.
“Kami tidak buta dan bodoh. Kami lakukannya bukan untuk membazir wang dan masa tetapi Mat Sabu telah berkata sesuatu tentang peribadi keluarga kami,” katanya pada sidang media di sini semalam.
Katanya lagi, kebangkitan rakyat yang tidak menyokong kenyataan Mat Sabu tersebut sebenarnya berpunca dari tindakannya yang mendewakan Mat Indera yang telah menganiaya bangsa Melayu sendiri.
“Orang yang telah menganiaya orang Melayu perlu ditentang, dadalam kes ini Mat Sabu mendewa-dewakan orang yang membunuh Melayu. Maka beliau juga perlu ditentang,” katanya.
Pada 21 Ogos lalu, Mat Sabu dalam ceramahnya di Tasek Gelugor menyifatkan Mat Indera sebagai pejuang kemerdekaan sebenar dan bukannya anggota polis yang mempertahankan diri dalam peristiwa Bukit Kepong.





