Oleh kerana titah Tuanku telah dimanipulasikan oleh Ambiga and the gang, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) akan meneruskan rancangannya untuk berhimpun pada 9 Julai di stadium memandangkan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) juga berniat berbuat demikian.
Presidennya Datuk Ibrahim Ali berkata, pertubuhan itu merancang untuk mengadakan perhimpunan berkenaan sama ada di Stadium Merdeka, Stadium Negara atau di Stadium Titiwangsa.
Sebelum itu, PERKASA akan mengadap Yang di-Pertuan Agong bagi mendengar titah Seri Paduka berhubung perhimpunan berkenaan.
"Jangan ambil kira permohonan mereka saja, kita mesti diberi (layanan adil) juga," katanya lagi yang turut berasa terkejut kerana pengerusi BERSIH Datuk Ambiga Sreenevasan diberi peluang untuk mengadap menerusi jalan terlalu mudah umpama Perdana Menteri.
Ketika ditanya, Ibrahim berkata surat bagi memohon perkenan mengadap Seri Paduka telah diserahkan tengahari ini.
"Kita juga sudah minta bertemu perdana menteri esok atau lusa, harap (beliau) dapat luangkan masa," katanya lagi.
"Kalau Tuanku nasihatkan supaya jangan buat perhimpunan kita akan menjunjung duli.
"Tapi kita akan tengok di sebelah sana buat apa," katanya lagi yang sedikit lega kerana BERSIH memutuskan untuk berhimpun di dalam stadium.
Tegasnya, PERKASA hanya akan membatalkan perhimpunan sekiranya BERSIH turut berbuat demikian.
Tambahnya, PERKASA juga akan memohon permit bagi perhimpunan berkenaan, seperti juga perhimpunan yang dianjurkannya sebelum ini.
Beliau juga yakin PERKASA akan diberikan permit tetapi tidak bagi BERSIH yang masih diharamkan kerajaan.
Jelasnya, Seksyen 27 Akta Polis menetapkan bahawa permit berkenaan hanya boleh dipohon oleh pertubuhan berdaftar dan juga oleh tiga individu sedangkan Bersih yang diwakili Ambiga adalah pertubuhan yang haram.
"Kalau individu mohon untuk organisasi haram, polis tak boleh beri kebenaran.
"Polis mesti profesional... BERSIH haram, jadi kalau polis beri permit, polis juga langgar undang-undang," tegasnya.





