PULAU PINANG jaguh pelaburan Malaysia.
Pulau Pinang memimpin.
Itulah antara gelaran yang diuar-uarkan oleh kerajaan DAP Pulau Pinang sejak mentadbir Pulau Pinang tiga tahun lalu. Meskipun baru tiga tahun memerintah Pulau Pinang, kerajaan DAP menonjolkan diri seolah-olah segala-gala yang baik adalah hasil usaha kepemimpinan kerajaan negeri sekarang dan segala-gala yang buruk, adalah peninggalan Barisan Nasional (BN).
Apa saja yang boleh mendatangkan imej positif kepada kerajaan negeri, yang boleh meraih populariti kepemimpinan kerajaan DAP Pulau Pinang, sekali gus memberikan kelebihan politik, akan dicanang semaksimum mungkin bagi membolehkan kerajaan negeri mendapat sokongan rakyat.
Lihat saja apa yang dilakukan ke atas kejayaan membasmi kemiskinan tegar, program penghargaan warga emas berusia 60 tahun ke atas dengan pemberian wang tunai RM100 setahun, bantuan khas kepada guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) dan kejayaan meraih pelaburan RM12.2 bilion pada 2010, diulang tayang pada setiap majlis.
Malah, satu majlis untuk meraikan kejayaan Pulau Pinang meraih pelaburan terbanyak berbanding negeri lain tahun lalu akan diadakan Arena Sukan Antarabangsa Pulau Pinang (PISA), Sabtu ini. Malah, majlis itu yang dinamakan Majlis Kejayaan Pulau Pinang Sebagai Jaguh Pelaburan Malaysia akan menampilkan penyanyi tersohor, Ning Baizura.
Adakah wajar konsert percuma Ning Baizura diadakan semata-mata bagi meraikan kejayaan Pulau Pinang memperoleh pelaburan tertinggi dalam sejarah negeri itu atau ada agenda tersirat bagi menyogok penonton khususnya muda-mudi, untuk mempromosi kononnya kehebatan pemimpin pembangkang mentadbir negeri ini.
Majlis itu dilihat sebagai satu inisiatif pembangkang untuk memenangi hati dan minda orang muda dengan menampilkan apa yang dikatakan sebagai kejayaan setelah tiga tahun memerintah, yang kononnya tidak pernah dicapai oleh BN sepanjang memerintah negeri ini.Tetapi harus diingat, Kota Rom tidak dibina dalam masa tiga tahun!
Komen 3 pemimpin Pulau Pinang
Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim, menyifatkan tiga tahun pemerintahan kerajaan negeri pimpinan Lim Guan Eng, sebagai satu tempoh yang bermasalah.
Kehidupan harmoni semua kaum sejak berpuluh-puluh tahun juga terjejas apabila ada pemimpin yang tidak bertanggungjawab. Kebelakangan ini, isu orang Melayu seperti diperkotak-katik, malah sering ditekan hingga menimbulkan masalah keharmonian,”
3 tahun pentadbiran kerajaan DAP adalah satu tempoh yang mengecewakan.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman, menjelaskan pelbagai kerenah yang timbul selepas pembangkang mentadbir Pulau Mutiara – penjaja Melayu yang teraniaya serta pendekatan halus bagi meraih sokongan rakyat. Pada masa yang sama, pelbagai janji manis yang ditabur ketika kempen pilihan raya umum belum ditunaikan.
Penasihat Kementerian Kemajuan Wilayah dan Luar Bandar itu turut melahirkan rasa kecewa dengan pendekatan kerajaan negeri sekarang yang lebih banyak mengejar populariti, bukannya membantu rakyat dan memajukan negeri.
Malah, lebih parah lagi, kerajaan DAP Pulau Pinang masih menari mengikut rentak pembangkang sedangkan mereka adalah kerajaan dengan asyik mencari kelemahan kerajaan terdahulu untuk menonjolkan diri mereka, bukannya bekerja.
“Banyak perkara dilakukan mempunyai agenda tersirat, agenda politik," katanya sambil meminta rakyat merenung mengenai janji yang bakal dilaksanakan dalam masa 100 hari jika pakatan pembangkang berjaya menawan Putrajaya seperti mana dinyatakan dalam 'Buku Jingga' .
“Kerajaan DAP Pulau Pinang sudah tiga tahun mentadbir negeri ini tetapi banyak janji yang belum ditunaikan. Inikan pula dalam masa 100 hari,”
Kerajaan DAP Pulau Pinang hanya pandai mencari publisiti untuk mengejar populariti termasuk mengambil kredit daripada usaha orang lain seperti kejayaan Pulau Pinang memperoleh pelaburan sebanyak RM10.2 bilion pada 2008 dan RM12.2 bilion pada tahun lalu.
Pengerusi GERAKAN Pulau Pinang, Datuk Dr Teng Hock Nan, berkata pentadbiran kerajaan negeri banyak tertumpu kepada usaha untuk meraih populariti sehingga gagal menyelesaikan masalah seperti kesesakan lalu lintas, perumahan untuk golongan berpendapatan rendah terutama di bahagian pulau.
“Setakat tiga tahun mentadbir Pulau Pinang, yang saya lihat dia (Guan Eng) hanya tahu buat sidang media (hampir) setiap hari untuk memainkan emosi orang ramai dan cuba membuatkan rakyat tidak dapat berfikir secara rasional berkaitan dasar Kerajaan Pusat,” katanya.















lim gone hanging pamphlets...piiraahhh masam mee...setakat jeling sambel terjelir...hahaha