Najib temui MP BN tanda PRU 13 semakin dekat

on Saturday, January 8, 2011 by Pejuang Bangsa
 - 1 Comment


Datuk Seri Najib Razak berkata beliau secara umumnya berpuas hati dengan input hasil pertemuan dengan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang diadakan hari ini, tetapi masih ada ruang untuk mereka meningkatkan peranan dan perkhidmatan bagi membantu menyelesaikan masalah rakyat.

Perdana Menteri berkata beliau mendapati sebahagian masalah yang timbul berada di luar daripada kemampuan wakil-wakil rakyat berkenaan untuk menyelesaikannya.

“Inilah tujuan sebenar (pertemuan ini) kerana berdasarkan kepada ungkapan kita iaitu BN mendahulukan rakyat.

Mereka yang berfungsi dan berperanan sebagai MP (Ahli Parlimen) perlukan sokongan daripada kerajaan pusat dan juga kerajaan negeri untuk membolehkan mereka membawa masalah rakyat kepada pucuk pimpinan dan kerajaan dan di mana kita boleh bantu selesaikannya supaya mereka lebih berkesan (dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat),” katanya kepada pemberita selepas pertemuan dengan Ahli Parlimen BN di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini.

Najib, yang juga Pengerusi BN, berkata 105 daripada 112 Ahli Parlimen BN yang dijemput termasuk timbalan menteri hadir pada pertemuan itu.

Ini merupakan jumlah kehadiran yang sangat baik, yang tak hadir pun dah tulis surat beri sebab. Kita tak jemput menteri kerana menteri ada masa (lain) untuk berjumpa (dengan saya) secara berasingan,” katanya.

Najib berkata pertemuan hari ini adalah satu kaedah di mana beliau dan Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dapat bertemu dengan para ahli Parlimen BN untuk mengetahui apakah permasalahan di kawasan mereka supaya wakil-wakil rakyat berkenaan dapat berkhidmat dengan lebih berkesan.

Program yang bermula sejak pukul 9.30 pagi hingga kira-kira 5.30 petang itu berjalan begitu baik dan ia amat berguna untuk beliau mendapat perspektif dan kedudukan keadaan Parlimen yang diwakili BN, kata Perdana Menteri.

Ditanya sama ada pertemuan itu boleh diambil kira sebagai satu petanda bahawa pilihan raya umum ke-13 akan diadakan tidak lama lagi, Najib berkata pertemuan ini adalah sebahagian daripada proses transformasi politik yang telah dimulakan.

“Kita ambil keputusan (ini) di mana saya umumkan dalam sejak Perhimpunan Agung UMNO, kita akan lancarkan program yang berbentuk transformasi politik... bagi menunjukkan kesungguhan kepimpinan BN daripada peringkat tertinggi sampailah ke peringkat akar umbi dengan pelbagai kaedah dan program,” katanya.

Sebelum ini, katanya proses transformasi politik sudah bermula dengan pindaan perlembagaan Umno, kursus, Konvensyen BN, pindaan perlembagaan BN dan terkini pertemuan hari ini.

Najib berkata proses transformasi politik penting untuk menampilkan BN sebagai parti yang mendahulukan rakyat.

“(Pertemuan) ini lebih untuk saya dengar apa hasrat, masalah dan rintihan rakyat dan bagaimana saya nak bantu selesaikan masalah rakyat yang dibawa oleh ahli Parlimen,” katanya.

Menjawab satu soalan, Najib berkata, beliau juga akan bertemu dengan ketua-ketua bahagian di kawasan Parlimen yang tidak diwakili oleh BN, kelak.

Ditanya sama ada pertemuan ini sebagai satu langkah menilai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) untuk Anggota Parlimen BN, Najib berkata: “Saya tidak menetapkan secara khusus daripada segi KPI, tapi kita ada cara dan kaedah mengukuhkan strategi setiap ahli Parlimen, dan ini kita jadikan asas sebelum kita membuat pertimbangan, apabila sampai masanya.” – Bernama


One Response

  1. WAZIZNOH says:

    Tanda-Tanda Perancangan Stratejik PM. Pendekatan Politik Yang Tepat Pada Masanya.PM Bijak Menggunakan Kekutan Yang Sedia Ada. Jika Semua Pimpinan BN Dapat Mengikut Jejak Langkah PM Menyusun Stareji Menggerakan Semua Jentera Kekutan Yang Sedia Ada, PRU 13 Nanti Pasti Hasilnya Luar Biasa.

Leave a Reply

Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.

Followers

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Created by Generasi Pejuang Bangsa. Powered by Blogger.
© GENERASI PEJUANG BANGSA. Converted by Smashing Blogger for LiteThemes.com.
CyberChimps