


Akhirnya sudah terjawab siapa calon BN di PRK Galas selepas diumumkan hari ini oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin . Bukan Tengku Razaleigh Hamzah iaitu Ketua Bahagian Gua Musang tetapi sebaliknya orang kepercayaan beliau yakni Setiausaha UMNO Gua Musang, Abdul Aziz Yusoff .
Pengumuman calon itu dilakukan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin pada satu majlis di Bukit Chekati, Gua Musang. Hadir sama Tengku Razaleigh, Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Mustapha Mohamad dan pemimpin parti-parti komponen BN.
Aziz merupakan anak kelahiran Kampong Bertam Baru Gua Musang dan berkhidmat sebagai Pengurus Operasi KESEDAR.Beliau merupakan Pengerusi PIBG Sekolah Kebangsaan PPRT Limau Kasturi.
Aziz juga pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi Gerakan Belia 4 B Gua Musang dan Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian sehingga tahun 2005.Ketika membuat pengumuman itu, Muhyiddin berkata Abdul Aziz merupakan calon yang masih muda dan pernah berkhidmat sebagai Ketua Pejabat Operasi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar).
"Oleh kerana beliau (Abdul Aziz) akan bertanding pada pilihan raya kecil DUN Galas jadi beliau telah melepaskan jawatannya itu. Beliau merupakan orang tempatan, orang Gua Musang dan umurnya masih muda," katanya.
Sementara itu, Tengku Razaleigh, dalam ucapannya di majlis pengumuman calon itu merayu penduduk Galas memberikan sokongan padu kepada calon BN.
Katanya, hanya BN terbukti membela nasib rakyat dan beliau berjanji selagi beliau masih berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Gua Musang, nasib penduduk di sini akan terus dibela.
"Ambo merayu adik-kakak, kali ni, ambo nak mene...buke mene kecik...mene besor, boleh ke tidak?" katanya yang disambut dengan laungan "boleh" oleh kira-kira 3,000 orang yang hadir di majlis tersebut.
PB melihat latar belakang Aziz iaitu seorang pemimpin masyarakat yang bermula di peringkat akar umbi lagi seperti dalam NGO belia serta aktiviti kemasyrakatan di Gua Musng ini mampu menarik sokongan pengundi Galas . Syabas Ku Li yang menampilkan calon yang boleh dikatakan terbaik untuk rakyat di Galas .





