Archive for 06/28/09

default

Debat : buang masa sahaja

on Sunday, June 28, 2009 by Generasi Pejuang Bangsa
 - 3 Comments


Hari ini pemimpin UMNO termasuk bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Badawi sekata dalam isu debat bahawa cabaran Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berdebat secara terbuka bagi menyelesaikan kekalutan politik PAS dan UMNO hanya buang masa dan tidak berfaedah.

Menurut mereka perdebatan tidak akan dapat membantu mencapai titik temu antara kedua pihak dalam isu berkenaan.


Di ALOR SETAR, mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata perdebatan antara UMNO dan PAS tidak akan membawa sebarang faedah malah beliau menganggapnya sebagai hiburan semata-mata.

Dr Mahathir berkata debat di Malaysia tidak sama dengan debat pemilihan presiden Amerika Syarikat yang banyak memberi faedah kepada rakyat dan negara.

"Di sini, apabila berdebat kita masuk belah kita, dia masuk belah dia walaupun ia salah," katanya kepada pemberita semasa diminta mengulas hasrat Nik Aziz.


Dr Mahathir ditemui selepas menyampaikan ucaptama dan merasmikan mesyuarat agung Persatuan Bekas Wakil Rakyat Kedah (MUBARAK) di sini.

"Perdebatan itu hanya membuang masa dan sebagai hiburan sematamata," katanya dan sambil menambah wakil rakyat dipilih bukan untuk menghiburkan rakyat dengan perdebatan yang tidak memberi makna. Mengenai pilihan raya kecil Manik Urai Julai ini, Dr Mahathir berkata beliau akan turun membantu BN jika diminta oleh parti.

Mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi hari ini menasihatkan Pas dan Umno supaya menyelesaikan kemelut antara dua parti itu secara perbincangan dan bukan berdebat secara terbuka.

Beliau berkata, pendekatan berdebat itu tidak akan membawa keduadua parti itu ke manamana jika isu atau masalah pokok yang dihadapi masyarakat Melayu dan Islam tidak diselesaikan.

"Tak perlulah pendekatan seperti itu (debat terbuka). Adalah lebih baik keduadua parti itu duduk dan berbincang apa yang menjadi masalah sehingga menimbulkan keadaan tidak senang hati di kalangan orang Melayu.

"Apakah masalah itu ada kaitan dengan agama yang menyebabkan perselisihan faham dan menyebabkan Umno dan Pas bercanggah pendapat dan pendirian," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung MCA bahagian Kepala Batas, di sini hari ini.

Menurutnya, orang Melayu boleh bergaduh dan berpecah belah kerana agama dan adalah lebih baik keduadua pihak mewujudkan persefahaman dan tidak berbalah tentang perkara itu lagi supaya keadaan dalam masyarakat Melayu lebih tenang.

Abdullah, yang juga Anggota Parlimen Kepala Batas, keduadua parti itu perlu menyelesaikan bersama isu penting tentang Melayu dan Islam segera supaya mereka tidak bertelagah lagi mengenainya pada masa akan datang.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata adalah sesuatu yang tidak masuk akal untuk menyahut cabaran Menteri Besar Kelantan itu kerana ia tidak memberikan apa-apa keuntungan dan faedah kepada UMNO dan rakyat.

"Untuk apa mahu berdebat? Tak masuk akal untuk berdebat dengan pemimpin PAS yang bercakap dolak dalih.

"Apa yang penting UMNO dan kerajaan mahu memperjuangkan kepentingan rakyat di Manek Urai. Ini yang lebih penting daripada melayan cabaran debat itu," katanya kepada wartawan di Pusat Operasi Barisan Nasional (BN) Manek Urai di Kampung Sok Luar di Manek Urai.

Tengku Adnan meminta Nik Aziz melihat apa yang telah dilakukannya kepada rakyat Kelantan pada masa PAS memerintah lebih 19 tahun.

"Apa yang dia buat. Semua apa yang ada itu hasil usaha yang dibuat Kerajaan Pusat. Apa yang PAS tahu buat fitnah dan burukkan pemimpin semata-mata," katanya sambil menambah jika BN yang memerintah dalam tempoh itu sudah tentu Kelantan akan jauh lebih membangun.

default

Manik Urai : Pemuda terus giat mendekati pengundi muda

by Generasi Pejuang Bangsa
 - 1 Comment




Oleh Yus Iskandar

Kuala Krai -- Pemuda UMNO akan memberikan tumpuan untuk mendekati seramai mungkin 3,020 pengundi muda menerusi pendekatan bersua muka dalam tempoh berkempen pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manik Urai 14 Julai ini.


Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaludddin berkata bagi tujuan itu pihaknya akan menggerakkan kira-kira 1000 petugas terdiri daripada jentera tempatan khususnya dari bahagian Kuala Krai dan seluruh Kelantan.

Selain pendekatan bersua muka jelas beliau lagi Pemuda juga turut melaksanakan program seperti ceramah, gotong royong, ziarah rumah ke rumah, mendampingi masyarakat, bersukan dan sebagainya.

Bola Sepak Muhibbah Pemuda UMNO





"Kita sudah pun mengenal pasti semua pengundi muda untuk didekati sepanjang tempoh kempen ini.

"Pada kali ini juga kita memberi tumpuan kepada jentera tempatan untuk tugas melaksanakan kempen kita. Untuk itu, kira-kira 1,000 jentera kita terdiri daripada Pemuda UMNO Kuala Krai dan seluruh Kelantan akan menjadi petugas secara tetap berkempen di sini", katanya.

Beliau juga memberitahu jentera tempatan ini turut akan dibantu jentera luar di mana beliau sendiri bertindak sebagai pemantau kepada jentera tersebut.

Ini kerana katanya bagi memastikan kehadiran jentera petugas dari luar Kelantan benar-benar menjalankan tugas membantu kempen pilihan raya dan bukannya menjadi pelancong politik.

Beliau berkata demikian selepas meluangkan masa beramah mesra sambil bertemu peniaga dan orang ramai yang mengunjungi pasar minggu di Kampung Laloh di sini, Jumaat pagi.

Sebelum itu beliau turut meninjau program bengkel motosikal yang dikendalikan bekas Juara Cub Prix Kebangsaan, Wazi Abdul Hamid. Malah apa yang menarik ketika dalam perjalanan beramah mesra dengan peniaga pasar minggu di Kampung Laloh, beliau turut melawat dan beramah mesra petugas Pas di markas berhampiran.

Selain beberapa Exco Pemuda UMNO pusat, turut hadir Ketua Pemuda Kelantan, Anuar Safian dan Ketua Pemuda bahagian Kuala Krai, Tuan Aziz Tuan Mat.

Mengenai program Pemuda Prihatin pula beliau memberitahu pelbagai program telah diaturkan termasuk program keluarga angkat di mana beliau dan Exco Pemuda akan bermalam di rumah keluarga angkat masing-masing di sini.

Ini katanya sebagai pendekatan untuk menyesuaikan diri dengan masyarakat setempat selian memahami sensitiviti penduduk tempatan.


Sementara itu ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pemuda UMNO pada sebelah petangnya, beliau mengingatkan jentera Pemuda bahawa pillihan raya kecil di Manik Urai ini mempunyai makna yang cukup besar terutama untuk mencipta satu titik perubahan baru di negeri ini di bawah kepimpinan baru parti.

"Kita perlu buktikan di bawah kepimpinan baru iaitu Presiden kita Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Mustapa Mohamed di Kelantan, kita akan bawa satu perubahan baru.

"Sebab itu pilihanraya ini walaupun satu pilihanraya kecil tetapi ia membawa makna yang cukup besar"
, katanya sambil disahut laungan “Pemuda Gempur” oleh lebih 2000 jentera Pemuda yang hadir.

Beliau turut berkata UMNO khususnya BN mempunyai peluang untuk menang di Manik Urai memandangkan perpecahan dalam Pas semakin ketara.

Sebab itu kata beliau Pas menyerang UMNO dengan pelbagai tuduhan untuk mengalih pandangan umum daripada konflik dalamannya.

"Mursyidul Am Pas, Nik Aziz bertindak seperti 'orang hilang punca' untuk mengukuhkan sokongan ahlinya sehingga sanggup menggelar UMNO sebagai parti ajaran sesat, menyamakannya dengan komunis dan pengikut Ayah Pin.

"Saya nampak tok guru amat menyedari masalah dalaman Pas sebab tidak pernah berlaku keadaan yang Mursyidul Am Pas sendiri meminta timbalan presiden keluar parti.

''Ini satu tindakan drastik yang memberi gambaran bahawa perpecahan dalam Pas agak ketara,'' katanya.

Nik Aziz kata beliau lagi kini dilanda wabak H1N1 yang merujuk kepada Hadi Awang dan Nasaruddin Mat Isa.

default

Nik Aziz riak dan mahu UMNO berdepan dengan saya

by Generasi Pejuang Bangsa
 - 1 Comment


Umno Mesti berdepan dengan saya: bukankah ada unsur riak?

MURSYIDUL Am Pas, Tok Guru Nik Aziz melenting dan mengamuk sakan sehingga membuat kenyataan dalam keadaan berang mahu menyaman Utusan Malaysia dan juga saya yang menulis di ruangan Pendapat akhbar berkenaan pada 16 Jun yang mengulas tentang ungkapan memastikan nasihatnya didengar yang kononnya beliau tidak kata begitu tetapi telah dilapor dengan niat jahat.

Ekoran lentingan dan ngamukkannya itu, gagasan kerajaan perpaduan oleh Presiden Pas dibatalkan dengan penggagasnya sendiri tidak menyokong gagagasan itu. Pelik tapi benar.

Tentulah Tok Guru Nik Aziz bangga sakan kerana semua orang Pas, termasuk Presidennya terpaksa 'tunduk menguku' kepada apa yang dimahukannya.

Hari ini Tok Guru Nik Aziz dalam cabarannya untuk berdebat dengan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak antaranya dilaporkan berkata: "UMNO mesti berdepan dengan saya sebagai pemimpin Islam, Perdana Menteri sebagai pemimpin sekular, maka kita berdebat.....". Mudah-mudahan tidak akan berbangkit soal salah lapor lagi bagi setiap patah yang saya petik semata-mata untuk lari dari keperluan bertanggungjawab terhadap apa yang dikata.

Pada pendapat saya 'mesti berdepan dengan saya' sama juga dengan 'mesti didengar' , membawa maksud sesuatu yang mutlak, tidak boleh menolak atau membahaskannya, apakah lagi mempertikaikannya dari sudut apa sekali pun.

Nampak sangat betapa angkuh, sombong, riak dan bongkaknya bila seseorang mengucapkan demikian.

Secara tidak langsung sebenarnya ada bibit-bibit 'over perasan' bahawa takah ketokohan beliau sama dengan Perdana Menteri.

Tidak hairanlah kalau gagasan Presiden mengenai kerajaan perpaduan ditolak kerana apa pun yang Pas mahu, yang pimpinan Pas nak gagas dan sarankan tidak boleh menduhului beliau, tidak boleh tidak dimaklumkan kepada beliau terlebih dahulu.

Saya secara peribadi, malah saya yakin rakyat negara ini yang tidak terkatup pemikirannya tanpa mengira fahaman politik, kaum dan anutan agama sudah mendapat jawapannya kepada pertanyaan kenapa gagasan kerajaan perpaduan ditentangnya.]

Juga boleh diteka jawapan kepada pertanyaan kenapa Timbalan Presiden Pas yang menang jawatan itu hasil majoriti undi perwakilan boleh dianggap menjadi sampah sarap dalam Pas kerana menyokong gagasan itu.

Menyamakan perdebatannya nanti sama seperti secara amalan nabi-nabi, contohnya Nabi Ibrahim berdepan dengan Namrud, Nabi Musa berdepan dengan Firaun dan Nabi Muhammad s.a.w. berdepan dengan Abu Jahal adalah juga menunjukkan betapa takbur, angkuh, sombong, bongkak dan riaknya beliau yang juga Menteri Besar Kelantan.

Yang pasti yang secara Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan Nabi Muhammad s.a.w.nya adalah beliau dan Pas 'lah bagi beliau manakala yang secara Namrud, Firaun dan Abu Jahalnya adalah Dato' Seri Najib dan Umno.

Sekali lagi nampak sangat betapa takbur, angkuh dan riaknya beliau, bahana terlalu anggap diri tersangat tokoh dari segala tokoh gara-gara diuji dengan anugerah kuasa dan kedudukan oleh Allah.

Macam mana pun saya yakin jika Pedana Menteri menyahut cabaran itu, pelbagai alasan dan syarat yang tidak munasabah akan dikenakan supaya cabaran perdebatan itu tidak akan menjadi kenyataan yang nantinya akan diletakkan pada batu jemala Umno di atas tidak menjadi kenyataan cabaran perdebatan itu nanti.

Tetapi lebih baik bagi Dato' Seri Najib biarkan cabaran itu sebagaimana Si Luncai dibiarkan terjun dengan labunya.

Perdana Menteri atau mana-mana anggota kabinet dan pimpinan Umno atau pun BN tidak perlu buka langkah silat apabila gendang yang dipalu awal-awal lagi sudah pun sumbang.

Tidak akan ada apa hasilnya yang akan diperolehi jika Umno berdebat atau berbincang dengan pihak yang telah menganggap Umno sama dengan komunis, seruapa ajaran sesat Ayah Pin, sama dengan Namrud, Firaun dan Abu Jahal kerana pihak yang membuat anggapan itu terlalu yakin bahawa Pas adalah Islam dan Islam adalah Pas, malah seolah-olah pemimpin Pas sudah ada senarai nama dalam syurga macam para sahabat yang menerima anugerah rodhiallahu-anhu.

Bagi saya 'Pak Had Ceton Tembus' pun nampak betapa terkatupnya pemikiran politik Nik Aziz oleh daki angkuh, sombong, riak, takbur dan bongkak apabila beliau berkata sejak Pas ditubuhkan pada tahun 1951 sehingga hari ini, rakyat belum mendapat jawapan mengenai dasar Umno.

Bagi saya, bukan rakyat yang belum mendapat jawapan, tetapi Nik Aziz dan pentaksubnyalah yang ketinggalan 'beca roda tiga' dalam perkara tersebut.

Harus diketahui dan diterima hakikat bahawa Umno bukannya tentang Pas kerana Umno itu sendiri lahir lebih awal dari Pas, tetapi Pas 'lah yang tentang Umno.

Sebenarnya sejak tahun 1951 lagi Umno melawan tentangan Pas terhadapnya. Ini suatu fakta yang tidak boleh dipinda dan tidak mungkin terpinda kalau pun usaha dibuat oleh mana-mana pihak sekali pun.

Umno melawan tentangan Pas kerana Pas perasan dan melabelkan Pas itu Islam dan Islam itu Pas yang pada saya kalau itulah yang menjadi pegangan orang Pas, ianya boleh rosakan akidah sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Pas dan Islam adalah dua item yang berbeza. Pas tidak cukup suci untuk disama-tarafkan dengan Islam. Saya mohon alim ulamak, termasuk para mufti membantu saya memberi hukum dalam soal ini.

Harus diingat bahawa yang Umno tolak adalah Pas, bukannya Islam. Hanya Pas yang anggap Umno tolak Islam kerana tolak Pas.

Lagi pun Mana tahu apa yang Pas labelkan macam-macam terhadap Umno betul-betul selari dengan Islam dan yang Pas label terhadap Pas sendiri pula memang betul macam tetak dengan golok dari penilaian Allah dan Rasul-Nya.

Apakah halal Umno dilabelkan sama dengan komunis atau sama dengan ajaran sesat Ayah Pin atau dengan melabelkan Umno memusuhi Islam dan hukum hakam semata-mata kerana melawan tentang Pas terhadapnya?.

Saya amat bersetuju dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin, Tok Guru Nik Aziz tidak perlu meminta maaf kepada Umno bila beliau menyamakan Umno sama seperti komunis dan ajaran sesat Ayah Pin atau pun apa-apa juga pelabelan dan tanggapan yang memisahkan Umno dari Islam, sebaliknya beliau kena minta ampun dari Allah.

Cuma kalau saya boleh nasihatkan orang Umno, jangan sekali-kali ikut rentak berparti politik dan bepolitik terkatup fikiran macam Nik Aziz dan pentaksub-pentaksubnya yang anggap diri sendiri sahaja yang betul tanpa mengambil falsafah dari tundingan jari yang mana ketika sebatang jari dituding ke arah orang lain, empat batang jari lagi tertuding ke arah diri sendiri.

Berparti politik dan berpolitiklah secara rasional dan profesional serta sentiasalah berdoa memohon petunjuk dari Allah agar apa yang dilakukan menjadi kerja ibadah.

Manakala kepada orang Pas pula, saya juga mengambil peluang ini mengajak anda semua agar berpolitik secara rasional dan profesional dan elakkan dari berparti politik dan berpolitik secara taksub dan seakan memBERHALAkan sesama manusia.

Rujuklah al-Quran dan Hadis sebagai rujukan mutlak untuk semua perkara.

Buka telinga untuk mendengar dengan fikiran dan dada yang lapang hujah dari ulamak yang dilabelkan sebagai ulamak Umno dan ulamak tanpa berparti politik, jangan hanya dengar sebelah pihak, yakni dari ulamak Pas sahaja sebagai pendukung dan penyokong Pas.

Kena ada rasa bimbang kalau-kalau apa yang kita sangka perbuatan ahli syurga sebenarnya perbuatan ahli syurga dan sebaliknya.

Dengan itu kita tidak akan leka dan hanyut dengan keyakinan kerana terpengaruh dengan apa yang kita rasa selari dengan Islam yang dikatakan oleh orang yang dianggap alim tetapi pada masa yang sama ada dia kepentingan politik bagi parti politik yang didukung.

sumber : http://melikapakjangak.blogspot.com/2009/06/muncul-kembali.html

Komen PB

Debat yang dirayu oleh Nik Ajis kepada Perdana Menteri sebenarnya tidak ikhlas. Yang ikhlasnya ialah Pertemuan, Muzakarah, Muqabalah, Perbincangan sebagaimana yang telah dimulakan oleh Pemimpin2 Pro-Ulama PAS dengan pemimpin2 UMNO tahun lepas dahulu.Nabi kita sendiri menganjurkan Musyawarah bukan debat seperti Amerika . Debat ini adalah cara di Amerika dan cukup digemari oleh Anwar Ibrahim. Aku takut di atas pentas itu Nik Aziz dimalukan sahaja seperti mana anak didiknya Husam yang dibantai teruk di depan ribuan penyokong PAS oleh Khairy Jamaluddin di Kota Bahru dahulu.

default

Forum Antara Persepsi, Manupulasi dan Provokasi

by Generasi Pejuang Bangsa
 - No Comments


Kelemahan organisasi, komunikasi dan pemasaran adalah punca utama UMNO mengalami banyak kekalahan pada Pilihanraya Umum (PRU) ke-12. Selain itu sikap sombong, kegagalan menangani persepsi serta tidak bijak memanupulasi perkara untuk kebaikan turut menjadi faktor sampingan.

Zaharin Yasin atau lebih dikenali sebagai Sang Kelembai, berkata untuk menghadapi Pilihanraya Umum ke-13 akan datang, langkah pertama perlu dibuat oleh parti itu ialah memusnahkan persepsi buruk yang telah ditanam oleh pembangkang.

“Cara terbaik untuk menangani persepsi yang dicipta oleh pembangkang ialah dengan mencipta persepsi kita sendiri. Bagaimanapun persepsi yang dicipta itu mestilah positif dan profesional. Apabila orang sudah dapat menerima persepsi itu, kita boleh memanupulasinya dengan cara yang positif dan seterusnya dapat menimbulkan provokasi yang sihat,” katanya.

Beliau menyampaikan pandangan itu semasa forum bual bicara anjuran UMNO berjudul Antara Persepsi, Manupulasi dan Provokasi di ibupejabat UMNO, pada Jumaat malam,

Menurut Zaharin yang pernah dipecat oleh UMNO kerana kelantangannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya membina persepsi positif terhadap dirinya sebagai pejuang Islam dan penentang rasuah di kalangan penyokongnya, dan kegagalan UMNO menangkis persepsi ke atas Anwar membuatkan pemimpin pembangkang itu terus dipercayai rakyat.

Selain itu katanya UMNO harus menggunakan strategi bertarung dengan musuh di gelanggang sendiri selain melakukan sebanyak provokasi yang boleh untuk membangkitkan semangat rakyat kembali mempercayai dan menyokong parti.

“Isu kerajaan perpaduan adalah contoh terbaik. Pembangkang bijak mencipta persepsi dan memanupulasikan keadaan sehingga ia kelihatan seperti UMNO yang bersalah,” katanya.

Forum berkenaan turut disertai oleh mantan Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan penganalisis politik, Prof. Dr. Ahmad Atory Hussain sementara Datuk Chamil Wariya bertindak sebagai moderator.

Dalam penerangannya, Tan Sri Isa pula berkata, satu lagi kelemahan orang UMNO ialah sikap malas dan takut serta tidak tahu mencetuskan provokasi. Katanya orang UMNO lebih bijak berprovokasi sesama sendiri tetapi apabila berdepan dengan pembangkang, mereka menyerah kalah.

Menurutnya jika UMNO gagal mengubah persepsi negatif rakyat terhadapnya, parti akan mengalami kekalahan lebih besar dalam PRU akan datang. Beliau berkata UMNO harus mencontohi cara mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir berdepan dengan persepsi.

“Ketika Datuk Seri Anwar berusaha menjatuhkan Tun Mahathir, beliau telah berjaya menimbulkan persepsi bahawa Tun Mahathir mengamalkan nepotisme dan kronisme serta kononnya seorang dikator, firauan dan sebagainya.

“Tetapi Tun menguruskan persepsi itu dengan bijak dan sebaliknya berjaya mengembalikan persepsi negatif terhadap Anwar pula.

“ Selain itu UMNO juga bergerak lembab. Contohnya semasa pilihanraya Bukit Gantang, ketika UMNO sedang merancang mengadakan ceramah, pembangkang sudahpun mengedarkan risalah dan membuat penerangan di setiap pelusuk kampung,” katanya
.

Isa juga mengingatkan UMNO supaya jangan mengambil ringan setiap perkara, terutama isu tempatan, negeri dan nasional. Bagaimanapun katanya, UMNO harus bijak mengurus dan memanupulasikan isu-isu berkenaan.

“ Kita boleh memanupulasi, tetapi kita janganlah berbohong. Tetapi apa yang jelas, untuk PRU akan datang isu pembangunan tidak boleh dijadikan modal lagi,” katanya.

Prof Ahmad Atory pula berkata, berdasarkan kajian yang dibuatnya, PAS telah banyak menyimpang dari landasan asal perjuangan mereka, tetapi disebabkan parti itu bijak menanamkan persepsi, memanupulasikan isu dan melakukan provokasi, mereka dilihat hebat.

Katanya, antara persepsi masyarakat terhadap UMNO ialah ia sebuah parti yang sombong dan kerajaan pula dilihat gagal melaksanakan DEB serta mendiskriminasikan kaum dalam perkhidmatan awam dan polis.

Beliau juga berkata UMNO masih relevan dan kemerosotan sokongan kepada BN pada PRU ke-12 banyak disumbangkan oleh parti-parti komponen seperti MCA, Gerakan dan MIC.

“Sejak selepas PRU ke-12, pembangkang dan blogger pro-pembangkang terus menerus melakukan manupulasi dan provokasi untuk memberikan persepsi kononnya BN sudah jatuh sehingga ia tertanam dalam benak fikiran rakyat.

“Jika kita tidak menguruskan UMNO dengan baik, maka Perdana Menteri sekarang akan menjadi Perdana Menteri yang terakhir menjelang PRU ke-13.

default

Khalid Ibrahim kosongkan Parlimen Bandar Tun Razak?

by Generasi Pejuang Bangsa
 - No Comments


SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini menafikan spekulasi bahawa beliau berkemungkinan akan mengosongkan kerusi Parlimen Bandar Tun Razak yang dipegangnya bagi memberi laluan kepada bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim bertanding di kerusi tersebut.

"Isu besar seperti ini biasanya dibincangkan di peringkat Biro Politik PKR (Parti Keadilan Rakyat) tetapi perkara ini tidak pernah langsung dibincangkan," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas laporan bahawa beliau berkemungkinan mengosongkan kerusi itu selepas pilihan raya kecik Manik Urai Julai ini, bagi memberi laluan kepada Zaid bertanding sekali gus membantu memperkukuhkan PKR.

Abdul Khalid yang juga Pengerusi Perhubungan PKR Selangor berkata, pihaknya berpendapat sekarang bukan masa yang sesuai untuk diadakan pilihan raya atas apa sebab sekali pun.klik di sini

Link

MB Selangor kosongkan Parlimen Bandar Tun Razak?

PAS tidak tahu Khalid akan kosongkan kerusi Bandar Tun Razak

Komen PB

Adakah benar pengunduran MP Bandar Tun Razak TS Khalid Ibrahim selepas berakhirnya PRK Manik Urai akan berlaku ?? Ini adalah bagi memberi laluan untuk Budak Suruhan Anwar yang terbaru Pak Zaid Ibrahim untuk menjadi Ahli Parlimen bagi menguatkan parti mereka di Parlimen terutamanya bagi menghadapi Menteri JPM Datuk Seri Nazri Aziz. Kini sudah menjadi 2 orang sudah budak suruhan Anwar berasal dari Kelantan iaitu Husam dan Zaid . Jika ini terjadi lagi ,sekali lagi demokrasi di main wayang lagi oleh Anwar selepas Penanti .

Blogger Widgets
Sebarang maklumat yang hendak diberikan boleh email kepada pbpejuangbangsa@gmail.com
Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.

Followers

Created by Generasi Pejuang Bangsa. Powered by Blogger.
© GENERASI PEJUANG BANGSA. Converted by Smashing Blogger for LiteThemes.com.