Archive for 04/06/08

default

PM beri penjelasan serangan dari Ku Li dan TDM

on Sunday, April 6, 2008 by Generasi Pejuang Bangsa
 - 1 Comment


PM: Ku Li punca Umno kalah di K'tan
Apr 6, 08 4:50pm
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menasihatkan bekas naib presiden Umno, Tengku Razaleigh Hamzah supaya "melihat diri sendiri" kerana beliau pernah menjadi punca kekalahan parti itu di Kelantan pada 1990.

Malah, tegas presiden Umno, salah sebuah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kawasan parlimen Tengku Razaleigh juga jatuh ke tangan pembangkang dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu.
Calon BN di Galas, Saufi Deraman, gagal mempertahankannya dan tewas kepada calon PAS Che Hashim Sulaiman.
Che Hashim menang dengan majoriti 646 undi. Pada 2004, Saufi menewaskan Che Hashim dengan majoriti 1,729 undi.

Parlimen Gua Musang mempunyai tiga kerusi DUN - Galas, Nenggeri dan Paloh. Tengku Razaleigh berjaya mempertahankan kerusi parlimennya itu dengan majoriti 4,394 undi berbanding 6,598 pada 2004.

Dalam pilihanraya umum 1990, Tengku Razaleigh yang ketika itu menjadi presiden Parti Melayu Semangat 46 (S46) telah menyertai barisan pembangkang yang dikenali Angkatan Perpaduan Ummah (APU) bersama PAS dan Berjasa.
S46 merupakan parti serpihan Umno yang ditubuhkan oleh Tengku Razaleigh apabila Umno diharamkan akibat krisis selepas beliau gagal menumbangkan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk jawatan presiden Umno pada 1987.

Perhimpunan khas
APU berjaya merampas Kelantan dari BN, PAS dan S46 kemudian menubuhkan kerajaan campuran di negeri tersebut.
Bagaimanapun, Tengku Razaleigh kembali ke pangkuan Umno selepas pilihanraya umum 1995 selepas S46 dibubarkan apabila beliau dan Dr Mahathir saling maaf-bermaafan.

Menjawab soalan di sidang akhbar selepas mengadakan perjumpaan dengan ketua penerangan Umno bahagian di ibu negara hari ini, Abdullah berkata, Tengku Razaleigh pernah dilantik sebagai pengerusi badan perhubungan Umno Kelantan, tetapi beliau juga gagal mengembalikan negeri itu ke tangan BN.

Presiden Umno juga kecewa kerana beliau dimaklumkan bahawa Tengku Razaleigh "tidak membantu" Umno Kelantan dalam pilihanraya umum lalu.
Tengku Razaleigh juga telah menyatakan hasratnya bersedia dicalonkan bertanding jawatan presiden menentang Abdullah dalam pemilihan Umno Disember depan.

Abdullah juga berkata, beliau tidak faham sikap Dr Mahathir yang seolah-olah bersikap "berdolak-dalik" dalam pendiriannya terhadap kerajaan dan pembangkang.

'Keluar arahan'

"Apabila kita (Barisan Nasional) menang besar dalam pilihanraya umum 2004, beliau kata ini kuat sangat, tak elok, mesti ada pembangkang, seolah-olah beliau dapat terima pembangkang sepanjang masa," kata Abdullah.
"Apabila pembangkang naik (menang besar), saya ingat beliau nak merayakannya, (tapi), beliau hentam kita balik...
"Mengapa boleh jadi begini, nampaknya menang banyak pun tak boleh... sikitpun tak boleh...(jadi) apa yang boleh?" tegas Abdullah lagi.

Selain itu, kata Abdullah, beliau juga didakwa terlalu berkuasa sehingga ahli kabinet dan ahli Majlis Tertinggi Umno tidak berani bersuara, sedangkan menurut beliau lagi, pelbagai sekatan dan arahan dibuat oleh Dr Mahathir sewaktu masih berkuasa.
"Kononnya zaman saya tidak ada kebebasan, semua orang takut. Tetapi depa kata (kepemimpinan) saya lembik tapi (ada) orang takut kat si lembik - seolah-olah dalam kabinet, (menteri) bodoh belaka, (menantu saya) Khairy (Jamaluddin) seorang yang pandai yang menentukan segala-galanya.

"Tuduhan-tuduhan yang tidak ada batas… hentam begitu sahaja. Apakah pada masa dulu (era Dr Mahathir) tidak ada sekatan-sekatan tertentu… "Bila Dr Mahahtir mengambil alih jawatan daripada Tun Hussein (Onn), saya tahu reporter semua dipanggil jangan memberi liputan berita kepada Tun Hussein, jangan tunjuk gambar Tun Hussein.

"Operasi Lalang siapa yang bertanggungjawab saya tahu, bukan saya tak tahu," katanya.
Dalam operasi besar-besaran tangkapan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1987 yang digelar Operasi Lalang, lebih 100 ahli politik termasuk tiga pemimpin Pemuda Umno dan aktivis ditangkap.

Menurut Abdullah lagi, pada zaman Dr Mahahtir, arahan dibuat dari masa ke semasa agar orang tertentu tidak dipilih.
Kini, katanya, ahli-ahli umno sudah berani bercakap memberi pelbagai kisah dan peristiwa yang berlaku masa dulu ketika Dr Mahathir masih berkuasa.

default

Ucapan Ikhlas dari Pak Lah

by Generasi Pejuang Bangsa
 - No Comments




SUARA RAKYAT DI DENGARI HARAPAN RAKYAT AKAN DI TUNAIKAN

Written by Nurul
Sunday, 06 April 2008

(KRONOLOGI PERJUMPAAN PM DENGAN KETUA PENERANGAN UMNO BAHAGIAN)

10.05 pagi ketibaan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawai di PWTC hari ini bagi bertemu dengan Ketua-ketua Bahagian dari seluruh tanah air bagi untuk memberi penerangan dan taklimat mengenai prestasi BN pada PRU12 baru-baru ini.



Dewan penuh sesak sehingga para hadirin terpaksa berdiri dikeliling dewan, lebih kurang 1,300 orang tidak dapat masuk ke Dewan Tun Hussien Onn, membuat pilihan untuk menunggu di perkarangan luar dewan sahaja.



Majlis dimulakan dengan bacaan doa, dimana para hadirin menyeru kepada Allah S.W.T agar Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri di beri kekuatan agar saling bersatu serta bantu membantu dalam menerajui negara. Sejurus acara bacaan doa Lagu Negaraku dan UMNO dimainkan bagi menaikan semangat patrioritik dikalangan pemimpin UMNO dan rakyat.



Majlis terus di hangatkan dengan ucapan dari Tan Sri Muhammad Muhammad Taib yang menyentuh isu kepimpinan Perdana Menteri yang sentiasa dikritik, dan di palit dengan tuduhan-tudahan palsu. Beliau dengan tegas menyatakan bahawa perkara meletakan semua kesalahan di atas bahu pemimpin sama sekali tidak adil dan perlu di perbetulkan.



Tan Sri Muhammad turut menyarankan agar presepsi rakyat terhadap Perdana Menteri harus diubah bagi menguatkan lagi parti keramat melayu UMNO.



Dalam mengharungi zaman teknologi tinggi seperti sekarang, banyak kritikan yang UMNO terima jadi, UMNO juga memerlukan masa untuk menyesuaikan parti sejajar dengan perkembangan dunia dan teknologi.



UMNO pernah melalui zaman krisis dan hampir terkubur yang disebabkan anasir-anasir luar yang cuba menjatuhkan melayu dan orang dalam UMNO itu sendiri. UMNO dan orang Melayu harus menghentikan pergaduhan sesama sendiri dan harus memandang ke hadapan bagi berhadapan dengan musuh.



UMNO tidak boleh gagal, jika gagal UMNO gagallah Melayu, sebagai seorang melayu dan juga rakyat kita harus memberi peluang kepada Perdana Menteri untuk memperkukuh dan memperkasakan Parti UMNO dalam tahun 2008 ini supaya menjadi lebih baik dari tahun 1999.



Tan Sri Muhammad juga menambah, kita mempunyai Timbalan Perdana Menteri yang kukuh berdiri di belakang Perdana Menteri dan akan sentiasa bergading bahu mengatasi masalah negara bersama.



Bermula jam 10.45 pagi Perdana Menteri menggambil tempat untuk berucap, Ucapan beliau yang amat bertenaga dapat mengupas beberapa isu yang menjadi persoalan yang tidak terjawab sebelum ini.. Ramai yang merasa lega dan faham akan kedudukkan Pak Lah sebagai Perdana Menteri dan seharusnya beliau diberikan kepercayaan yang penuh untuk memimpin negara dan mengepalai pucuk kepimpinan UMNO dan BN.



Beliau menggambil keputusan untuk mula bercakap setelah sekian lama mendiamkan diri apabila sentiasa diselar oleh pihak tertentu, bagi menjaga kepentingan parti UMNO dan berhasrat akan memperkuatkan parti setelah sokongan rakyat semakin berkurangan.



Sekarang adalah masa untuk memperbaiki keutuhan parti ini kerana ada pihak yang ingin merobohkan parti UMNO.



Kerajaan faham dan mengerti akan mesej yang disampaikan oleh rakyat kepada pemimpin, rakyat mahukan pembahruan, rakyat mahukan pembentukan semula badan kehakiman, dan Pak Lah akui perlaksanaannya masih belum cukup dan tidak memuaskan hati rakyat.



Pak Lah akui selepas 2004 rakyat meletakan harapan yang tinggi, yakni kita harus buat yang terbaik, kenaikan harga minyak dan barang meningkat membuatkan rakyat marah. Tapi ini bukan bermakna kami tidak prihatin terhadap kesusahan rakyat.



Pihak kerajaan sentiasa mencari jalan agar dapat mengurangkan beban rakyat, dan kerajaan turut menjelaskan apa yang telah dilaksanakan. Kita mungkin tidak sedar sekarang demi memenuhi kehedak kita sebagai rakyat, semua bebanan dihalakan ke Petronas dan adakah penubuhan Petronas itu hanya untuk memberi subsidi kepada kita?



Sebagai rakyat kita sudah semestinya mahukan pembangunan, tapi apa yang berlaku , rakyat lebih cenderung mahukan subsidi dari pembangunan.



Tugas kerajaan bukan sedikit, pelbagai isu harus ditangani, isu agama, isu kuil, dan isu hindraf yang akhirnya membuat masyarakat India menolak kerajaan demi kepentingan bangsa mereka. Kebecian berasaskan agama dan bangsa semakin menjadi-jadi, termasuk juga bangsa cina yang tidak pernah berpuas hati dengan bangsa melayu.



Mereka menggangap orang melayu kuat kerana DEB diberi keutamaan pada orang melayu bagi mengkuhkan ekonomi orang melayu manakala pinjaman SME, diberi keutamaan kepada orang melayu dan pekerja sektor awam seperti polis dan askar dimana majoritinya bumiputra. Inilah yang menyebabkan orang cina tidak senang dengan orang melayu.



Pak Lah turut menjawab isu yang dibangkitkan oleh mantan perdana menteri Tun Dr. Mahathir yang menyatakan kita memerlukan parti pembangkang yang kukuh, bukan menahan dan menangkis pembangkang tapi seolah menggalakannya.



Bila pembangkang kuat Pak Lah dihentam oleh Tun. Adakah ini adil sedangkan Tun sendiri yang menggalakan pembangkang.



Jika dibangdingkan dengan tahun 1999, sokongan yang kita dapat sekarang adalah jauh lebih baik, kita masih mendapat sokongan dari masyarakat melayu dibandar dan diluar Bandar contohnya seperti Felda.



Semasa berkuasa Tun guna ISA, operasi lalang yang dianggapnya begitu kuat. Tetapi apa yang jadi sebaliknya apabila Pak Lah berkuasa, "Tun cakap saya lembik saya lemah dan dalam pada masa yang sama dia cakap orang takut dekat saya, saya tak nak cakap lagi (mengenai Tun Dr Mahathir) sebab banyak benda akan timbul nanti".



Pak Lah turut menjawab isu di mana orang ramai mahukan Tun menyiasat Video kes Lingam sedangkan perkara itu tidak berlaku di zaman Pak Lah. Khairy dituduh sebagai penentu kabinet dan senarai calon, "saya lebih kenal siapa menatu saya dari orang luar".



"Segala urusan kabinet dan senarai calon adalah diselenggarakan dan ditentukan oleh saya sendiri bersama Najib dan Radzi Sheikh Ahmad." Ini sama sekali tidak melibatkan Khairy ataupun tingkat empat seperti yang dituduh pihak tertentu.



Mereka hanya menyampaikan laporan-laporan Pak Lah, tetapi keputusan adalah tanggunjawab saya dan bukan mereka. Kini timbul isu kuota dalam UMNO, Pak Lah dengan tegas berkata bahawa sistem kuota itu bukan dibuat olehnya atau di zaman pemerintahannya.



Apa yang menjadi fokus Pak Lah sekarang adalah ingin mengotakan janji beliau yang mahu membasmi kemiskinan yang seakan sudah menjadi penyakit keturunan di negara ini. Tetapi pelaksanaan ini harus diteliti dan diperhalusi dari segi faktor budjet terutamanya.



Pak Lah juga mahu lebih banyak ruang diberi kepada rakyat untuk membincangkan isu semasa dengan bebas. Koridor-koridor akan diteruskan bagi merealisasikan misi negara kukuh. Pak Lah juga berhasrat dapat membantu meningkatkan lagi modal insan, sokongan terhadap parti bagi menarik kembali kepercayaan rakyat terhadap kempimpianannya.



Banyak perkara yang harus kita selesaikan, kita harus menyusun semula parti kita dan berhadapan dengan kencaman perang siber. Kita juga harus melihat sikap kita terhadap agama kerana agama telah menjadi satu isu besar terhadap pihak bukan islam.



Pak Lah turut menjawab tuduhan Tun yang kerajaan tidak ada peluang untuk menggambil kembali negeri yang sudah terlepas ke tangan pembangkang, ketika berkuasa adakah Tun berjaya menggambil kembali Kelantan? Ku Li pula tidak banyak yang dilakukan dalam usaha menawan Kelantan malah beliau kalah satu kerusi di kawasan beliau sendiri.



Kita harus sedar motif PKR hanya untuk menjadikan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri, segala isu yang dibangkitkan oleh Anwar tentang media samalah seperti membuka pekung didadanya sendiri, ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri Anwar orang yang mengawal media. Ia adalah pakatan Mahathir dan Anwar itu sendiri.



Ketika mula menjadi Perdana Menteri arahan pertama Tun Dr. Mahathir adalah Media tidak boleh membuat sebarang liputan tentang Tun Hussein Onn. Begitu mudah Tun lupa perkara yang dipratikkan oleh beliau sehingga menjadi satu tradisi selama 22 tahun di arena pemerintahan beliau.



Di akhir ucapan, Pak Lah menegaskan bahawa musuh kita adalah pembangkang yang tidak senang denga melayu. Semasa beliau memilih Najib sebagai timbalan beliau, apa yang beliau mahukan adalah bekerja bersama Najib, "saya sudah hampir 70 tahun, berapa lama lagi saya boleh bertahan, kita harus pulihkan parti keramat kita, Insyallah bila kamu (Najib) ambil alih nanti segalanya akan menjadi lebih baik", 2020 bukan untuk saya, mungkin Najib sebagai orang nombor satu negara yang akan melaungkan negara maju, bangsa kita maju" tambah Pak Lah lagi.

Pak Lah turut berharap dapat bersama-sama meraikan detik itu nanti walaupun ketika itu beliau mungkin duduk di kerusi roda. " Saya bukan tamak (kuasa) saya bersyukur", akhiri beliau.

Blogger Widgets
Sebarang maklumat yang hendak diberikan boleh email kepada pbpejuangbangsa@gmail.com
Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.

Followers

Created by Generasi Pejuang Bangsa. Powered by Blogger.
© GENERASI PEJUANG BANGSA. Converted by Smashing Blogger for LiteThemes.com.