..

..

Keranda 152-Usman Awang

on Monday, December 1, 2008 by Generasi Pejuang Bangsa
 - 1 Comment


SAJAK USMAN AWANG MENGENAI PERJUANGAN BAHASA MELAYU PADA TAHUN 1967


Keranda 152

Anak Melayu
Panas dadamu membakar baju
Kita arak keranda 152
Ke tanah perkuburannya Parlimen

Sepuluh tanah nafas ini terhenti
Hari ini jangan lagi menyanyi



Sebentar lagi malam akan tiba
Tiap pintu dan jendela sudah dijaga
Bayang-bayang tidak bisa lewat jalan raya

Anak Melayu
Namamu telah diseru
Jawablah
Sebelum lidahmu jadi bisu



-Usman awang-
Tahun 1967


Huraian

Perjuangan memartabatkan bahasa Melayu telah melalui sejarah yang panjang. Pejuang bahasa sebelum merdeka adalah juga pejuang bangsa dan pejuang kemerdekaan. Keranda 152 adalah satu episod dari rantaian perjuangan meletakkan Bahasa Melayu di tempat yang selayaknya.

Buku Keranda 152, Bahasa kita, Air Mata & Maruah Kita, adalah sebuah buku yang sudah lama saya cari. Ianya merupakan buku yang diterbitkan semula oleh Persatuan Linguistik Malaysia pada tahun 2002. Buku asalnya berupa himpunan tulisan berbentuk stensilan pada tahun 1968. Ianya berupa cetusan hati untuk memperingati ulangtahun peristiwa penentangan terhadap Rang Undang-Undang Bahasa Kebangsaan (1967). Buku ini menceritakan detik detik peristiwa penentangan yang berlaku pada 3 Mac, 1967 di Balai Budaya, Dewan Bahasa & Pustaka.

Apa sebenarnya Keranda 152? Ianya merujuk kepada Fasal 152 Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Rasmi dan Bahasa Kebangsaan. Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan adalah salah satu dari kontrak sosial yang telah dipersetujui bersama oleh rakyat berbilang bangsa.

Sewaktu detik mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, tuntutan rakyat untuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai sesatunya Bahasa rasmi telah tidak dapat dipenuhi oleh parti yang memerintah. Alasannya kerana Bahasa Melayu belum benar-benar bersedia untuk mengambil-alih tugas Bahasa Inggeris yang telah digunakan oleh penjajah dalam segala urusan rasmi dan pentadbiran negara. Atas sebab itu, Bahasa Inggeris masih dibenarkan penggunaannya, untuk tempoh masa 10 tahun lagi. Tempoh itu dirasakan munasabah untuk setiap rakyat Tanah Melayu mempelajari dan menguasai Bahasa Melayu.

Apa yang berlaku pada tahun 1967, Bahasa Inggeris masih diberi ruang yang besar sebagai bahasa rasmi. Badan NGO Melayu rasa terkejut dengan beberapa peruntukan dalam Rang Undang-Undang Bahasa 1967 yang masih mengekalkan Bahasa Inggeris dalam beberapa bidang terutama bidang kehakiman.

Apa gunanya merdeka, jika bahasa anak pribumi dianggap sebagai bahasa kelas ketiga dan tidak layak diguna di negara sendiri? Adakah tempoh 10 tahun masih tidak cukup untuk setiap rakyat memantapkan penguasaan Bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan? Inilah yang diperjuangkan oleh pejuang bahasa dalam tahun 1967. Mereka berasa bagi dikhianati oleh para pemimpin yaang kononnya memperjuangkan kepentingan bangsa Melayu.

Sekumpulan 9 orang peguam Melayu telah menghantar memorandum menyuarakan bantahan namun tidak dipedulikan oleh parti yang memerintah.

Kemarahan orang Melayu membuak-buak. Seramai 2,000 orang mewakili 120 pertubuhan orang Melayu telah berhimpun di Balai Budaya, DBP pada petang Jumaat 3 Mac, 1967.

Perhimpunan ini menyaksikan orang Melayu bersatu tanpa mengira fahaman politik. Peristiwa itu juga diingati dengan ucapan Tun Syed Nasir Ismail, Pengarah DBP yang menitiskan airmata mengenangkan nasib Bahasa Melayu;

"...saya menangis bukan kerana takut, tetapi air mata ini lahir daripada keharuan hati sanubari saya mengenangkan nasib bangsa saya. Saya tidak boleh buat apa-apa sekarang ini. Saya terikat..."


Kemarahan rakyat sudah tak terbendung menyaksikan sekumpulan aktivis bersedia mahu berarak ke Bangunan Parlimen. Mereka mahu mengusung Keranda 152 yang membawa jiwa bangsa yang sudah ditamatkan hayat oleh bangsanya sendiri.

Peristiwa Keranda 152 akan diingat sebagai satu episod dalam sejarah perjuangan Bahasa Melayu. Balai Budaya yang menjadi saksi peristiwa bersejarah itu, kini sudah ditukar nama kepada Balai Tun Syed Nasir. Peritiwa 13 Mei 1969, kemudiannya seakan menjadi penyelamat bila Bahasa Melayu dijadikan bahasa pengantar utama dalam dasar pendidikan negara. Kemuncak perjuangan ini menyaksikan lahirnya Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1970 yang menyaksikan buat kali pertama, Bahasa Melayu digunakan sepenuhnya sebagai pengantar utama.


Tahun ini genap 41 tahun Peristiwa Keranda 152. Ramai yang mungkin lupa, tak tahu atau buat-buat lupa. 41 tahun Keranda 152 dan 51 tahun merdeka adalah saat yang mungkin sesuai untuk bermuhasabah dan menyoal diri...

Di manakah Bahasa Melayu?

Masih di dalam keranda?

sumber :pribumiperkasa.com


One Response

  1. Jiwa Rasa says:

    Salam.

    Rasanya tulisan di atas bersumber dari coretan saya di blog http://jiwarasa.blogspot.com/2007/05/keranda-152.html#links.

    Bila pula ia jadi milik pribumi perkasa?

Leave a Reply

Blogger Widgets
Sebarang maklumat yang hendak diberikan boleh email kepada pbpejuangbangsa@gmail.com
Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.

Followers

Created by Generasi Pejuang Bangsa. Powered by Blogger.
© GENERASI PEJUANG BANGSA. Converted by Smashing Blogger for LiteThemes.com.